Friday 2 December 2011

Mencari Jiwa yang Hilang

Salam buat pembaca yang setia dan sudi singgah untuk membaca perkongsian demi perkongsian yang saya catatkan saban hari. Alhamdulillah hari ini hari jumaat yang mulia, kita sama-sama dapat beriltizam dan mempertingkatkan motivasi dan keyakinan diri sebagai wanita muslim yang teguh keimanannya pada Allah yang Esa. Hari-hari berlalu terasa cepat dan pantas, hinggakan terlupa tahun hijri yang baru telah bermula. Sebut sahaja tahun baru mesti anda semua akan terfikir tentang azam atau impian untuk tahun baru. Apa agaknya azam anda untuk tahun ini ye?..Terpulang pada anda apa sekalipun azam anda, yang penting azam anda tidak terkeluar dari syariat Islam. Saya juga tidak terlepas dari memikirkan tentang azam baru dan impian-impian yang hendak dilaksanakan untuk tahun ini, tetapi yang perlu di selesaikan adalah mencari jiwa yang hilang. Saya seorang wanita biasa, yang tidak mempunyai latar belakang agama yang terlalu tinggi hinggakan boleh digelar ustazah, semestinya tidak terlepas dari terkena kekacauan jiwa dan fikiran. Terasa kekosongan hinggakan rasa jiwa saya hilang. Lantas saya ambil pendekatan agama dengan memperbanyakkan mengingatiNya dan menguatkan semangat untuk menulis di blog ini. Justeru apa yang saya tulis sedikit dapat membantu para wanita diluar sana dan yang banyaknya dapat mengingatkan serta menyedarkan diri saya sendiri. Setiap manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan, dan kesilapan seharusnya menjadi pengajaran bermakna. Menjadi yang lebih baik adalah satu anugerah yang tidak ternilai dari Allah SWT. Jika sentuh pasal perubahan ia juga merupakan satu penghijrahan bukan. Saya amat tertarik dengan penghijrahan beberapa orang artis antaranya, Diana Amir dan beberapa ahli kumpulan Ruffedge yang telah menukar kehidupan mereka kearah keislaman. Terharu hati saya melihat perubahan mereka. Jelas benar hidayah Allah itu sebenarnya untuk sesiapa sahaja, selagi ada di hati mereka sifat ingin bertuhan selagi itu akan Allah curahkan Hidayah dan Taufiknya kepada setiap hamba-hambanya. Berbalik kepada jiwa yang hilang, jiwa yang hilang boleh diibarat seperti mati.. Hanya tinggal jasad, tetapi hati mati, dan akal tidak mampu berfikir..Sungguh dasyat bukan, mujurlah rahmat Allah itu sentiasa ada pada setiap hambaNya yang benar dan yang sentiasa berusaha mencari jiwa yang hilang. Lantas kekuatan dan keyakinan dapat menjadi pemankin diri agar menjadi insan yang berguna pada ummah keseluruhannya. Seorang wanita tidak dapat lari dari masalah. Lebih-lebih lagi wanita yang telah berkeluarga. Saya sendiri mempunyai pengalaman sebagai seorang isteri dan juga seorang ibu. Jujur saya katakan menjadi isteri dan ibu dizaman ini terlalu mencabar. Lihat sahaja persekitaran kita yang agak kurang selamat dengan gejala sosial yang melampau, hinggakan boleh menggangu gugat keharmonian rumahtangga. Muktahir ini, para isteri di momokkan dengan cerita suami curang dibelakang isteri dan si suami di momokkan dengan kisah isteri mengkhianati suami juga tidak ketinggalan kisah anak- anak remaja yang mudah rosak kerana terpengaruh dengan budaya barat. Belum lagi masalah dalaman keluarga melibatkan pengurusan keewangan dan gaya hidup. Sekiranya seorang wanita itu tidak cukup persediaan dari segi fizikal dan mental, maka terjadilah perkara-perkara yang tidak diingini dalam rumahtangga. Seperti yang saya katakan pada catatan perkongsian saya sebelum ini, pedekatan agama amatlah penting pada sesebuah rumahtangga. Kerana kita pada lazimnya mendirikan rumahtangga nawaitu kerana Allah, dan sekiranya berlaku kekhilafan semasa melayari rumahtangga semestinya yang pertama sekali kita tuju dan adu adalah kepada Allah. InsyaAllah masalah akan selasai, kerana Allah akan memberi kemudahan dan melapangkan setiap permasalah yang berlaku. Jiwa yang hilang telah menjadi kenangan buat saya. Dan sekiranya ada antara anda yang jiwanya sedang hilang, ambillah pendekatan segera dengan berbalik kepada Islam, agar kita sama-sama dapat kembali menjadi hamba Allah yang berjiwa tenang dan redha. Amin.

Wednesday 30 November 2011

MENJUAL JAMU RATU DARA: Wanita Berperibadi Mulia

MENJUAL JAMU RATU DARA: Wanita Berperibadi Mulia

Jamu Ratu Dara Pelengkap Setiap Wanita

Wanita Berperibadi Mulia

Salam kasih sayang buat teman-teman dan pembaca yang sudi singgah untuk meluangkan sedikit masa membaca coretan yang tidak seberapa hari ini. Alhamdulillah hari ini kita dapat bersua lagi dan menghirup udara kurniaan Allah yang tidak ternilai. Tanpa udara yang Allah ciptakan untuk kita bernafas, nescaya kita tidak akan mampu hidup. Wahai pembaca wanita yang diberkati Allah sekalian, masih adakah sifat belas ihsan, kasih sayang dan sifat-sifat mulia lain yang mencerminkan kan keperibadian mulia anda? Sekiranya masih ada, walaupun salah satu, haruslah anda bersyukur kerana masih ada wanita diluar sana yang hatinya telah hancur lebur, tiada langsung sifat sedemikian. Yang ada hanya nafsu dan cinta dunia semata hingga hilang pertimbangan untuk membezakan betul atau salah, benar atau dusta. Wanita sekarang terlalu berani, dan terlalu mengikut hati dan perasaan hingga sanggup mengenepikan maruah diri dan rela menghancurkan rumahtangga orang lain untuk kepentingan diri sendiri. Wanita bermadu kasih didalam handphone dengan suami orang,isteri curang pada suami, buang bayi, penzinaan..wajarkah perkara ini berlaku? Sekiranya ada keperibadian mulia dalam diri wanita berkenaan perkara begini tidak mungkin akan berlaku. Seorang wanita yang baik adalah wanita yang sentiasa dapat menilai dan bertafakur tentang dirinya dan segala kesilapan yang telah dilakukan. Berfikir kearah kebaikkan, berfikir untuk membuat kebaikkan dan berfikir tentang penciptaan Allah yang ada dalam dirinya. Sekiranya didalam jiwa seorang wanita itu hanya ada kebesaran Allah dan takutkan Allah, nescaya tidak ada sedikitpun penyakit hati tumbuh didalam jiwanya. Hatinya akan sentiasa redha dan berserah dengan segala qada' dan qadar Allah SWT. Wahai wanita yang budiman, dunia ini hanya bersifat sementara. Kebahagiaan didunia juga bersifat sementara. Yang perlu dikejar adalah kebahagiaan hakiki di akhirat sana. Jika anda rasa anda tidak ada tempat disisi Allah untuk menikmati kebahagiaan diakhirat, anda sebenarnya silap. Allah itu bersifat Ar-Rahman, Ar- Rahim. Dia maha penerima taubat hambanya. Selangkah hambanya mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati hambanya. Bertaubatlah dengan sebenar benar taubat, kerana tiada kesalahan yang lebih besar melainkan menyekutukan Allah (syirik). Pintu hidayah Allah itu maha luas bagi mereka yang inginkan hidayahnya. Maka berusahalah mencari hidayah Allah walau dimana pun, apa jua cara pun. Muhasabahlah diri mencari kebenaran dalam hidup, bermuhasabahlah diri mencari keikhlasan. Kerana dengan hati yang ikhlas, segalanya akan dimudahkan Allah. Insafilah dosa-dosa lalu dengan istighfar. Mudahan hati akan menjadi lebih tenang dan yakin pada Allah. Sesungguhnya ditimpakan Allah ujian pada hamba-hambanya yang beriman melainkan untuk dia menambah keimanan kepada hambanya dan menilai dirinya. Dan jangan sesekali disesalkan dan berasa jauh dari Allah sekiranya ujian melanda, kerana takut itu adalah balasan dari perbuatan dosa yang kita lakukan. Wanita sekalian, sepatutnya kita perlu mengambil iktibar dengan kesalahan orang ataupun kesalahan masa lalu kita. Kesalahan pertama yang kita lakukan merupakan pengajaran besar yang amat bermakna. Tetapi jika diulang kembali kesalahan, itu merupakan kebodohan kita.. Semoga kita sentiasa dibawah lembayung rahmatNya dan menjadi orang yang benar. Amin

Wednesday 23 November 2011

MENJUAL JAMU RATU DARA: Dunia Hari Ini

MENJUAL JAMU RATU DARA: Dunia Hari Ini

Jamu Ratu Dara Pelengkap Setiap Wanita

Dunia Hari Ini

Salam buat pembaca budiman. Diharap anda semua dalam keadaan sihat sejahtera. Alhamdulillah kali ini kita dapat bersua kembali dan topik yang hendak kita bincangkan hari ini ialah mengenai " Dunia Hari Ini". Cuba anda lihat disekeliling anda, tidak kiralah pekerjaan apa yang sedang anda lakukan sekarang pun, dan cuba anda bezakan hari ini dengan 2 tahun lepas, 4 tahun lepas atau sebelum-sebelumnya. Adakah anda melihat sebarang perubahan disekeliling anda?. Tentu sekali ada perbezaan atau ada sebarang perubahan. Tidak kiralah samaada perubahan kecil atau pun besar. Begitu juga diri kita. Mengapa saya katakan diri kita juga berubah?..Kerana usia kita semangkin meningkat. Bohong lah sekiranya dalam tempoh 10 tahun diri kita masih kekal maintain. Pasti ada kurangnya. Tak percaya, cuba anda belek setiap ceruk , lekuk diri anda. Dan nilai lah sendiri. Dalam suka duka kita meniti usia yang semangkin meningkat, pernahkah anda tersentak dan terfikir yang dunia ini juga sudah terlalu tua untuk kita duduki. Kiasannya, dunia telah mengalami banyak simtom-simtom penyakit kronik seperti gempa bumi, banjir besar, ledakan gunung berapi, ribut taufan, pemanasan global dan banyak lagi yang boleh meragut nyawa bumi. Cumanya, kita tidak tahu bila nyawa dunia bakal ditarik oleh Allah, dan bakal binasalah semua mahkluk yang menumpang teduh di atas dunia sekiranya dipanggil Allah akan nyawa dunia. Nak digambarkan dunia hari ini, agak sedikit tenat. Tetapi yang hairannya, makhluk yang menumpang teduh di dunia
seakan akan tidak dapat memahami keadaan dunia yang semangkin kritikal. Buktinya, ramai makhluk di dunia bernama manusia masih leka hidup didunia bagai dunia masih ada baratus ribu tahun lagi umurnya. Antaranya sibuk bekerja hendak mengejar pangkat, bekerja mencari wang hingga lupa solat. Terlalu ghairah mencari keseronokan di tempat hiburan, sanggup melakukan perkara haram demi wang, tipu daya untuk memuaskan nafsu syahwat dan bermacam-macam lagi perilaku manusia di dunia hari ini yang melampaui batas sebagai seorang islam yang bertuhankan Allah yang esa. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini beberapa negeri di Malaysia telah dilanda musibah berupa banjir besar. Kalau ditafsir kerugian yang dialami memang agak besar jumlahnya. Tetapi bagi orang yang dapat menilai musibah yang berlaku kepada persefektif yang positif, kerugian jauh tidak bernilai berbanding nilai iman yang bertambah. Dunia hari ini juga menunjukkan ramai manusia suka memfitnah, berburuk sangka dan mengumpat keji. Ada antara mereka mengata orang yang melakukan cukup solat lima waktu tetapi buruk perangainya, bertudung tetapi buruk perangainya. Sedarkah orang yang mengata itu sendiri tidak melakukan solat, tidak menutup aurat. Apa hak orang demikian mengata sedemikian rupa kepada orang yang bersolat dan bertudung, mengata orang yang cuba melakukan hak Allah?. Mereka telah cuba berusaha meminta hidayah dari Allah. Sekiranya ada sedikit keikhlasan pada hati-hati mereka, InsyaAllah, Allah akan memberi mereka hidayah dengan memperbaiki akhlak mereka. Maka yang salahnya siapa? orang yang tidak pernah mahu bersolat, dan tidak pernah mahu menutup aurat lah. Hidayah itu milik Allah. Dan Allah tidak akan memberi Hidayah pada mereka melainkan mereka berusaha untuk mendapatkan hidayah. Kalau diikutkan terlalu banyak yang hendak disentuh dalam topik dunia hari ini. Cuma takut pembaca naik bosan membaca. Penulisan ini bukan bermaksud hendak mengenakan sesiapa. ini sahaja usaha saya untuk memperbaiki diri dan memberi manfaat kepada pembaca supaya kita sama-sama berfikir kearah kebaikkan. Pembaca sekalian, dunia ini bersifat sementara. Hebat mana kehidupan kita didunia ini, esok lusa bakal kita tinggalkan jua. Lebih elok jika kita yang mengingati mati dahulu, sebelum malaikat datang mengingatkan kita tentang kematian. Kerana kematian itu ditangan Allah, tidak lambat walau sesaat dan tidak cepat walau sesaat. Sekiranya hati kita sentiasa mengingati mati, nescaya tidak ada sedetikpun hati kita leka dari mengingati Allah. Allahualam..

Friday 11 November 2011

Kepada Wanita yang prihatin..

Salam..
Terlebih dahulu saya nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada anda yang sudi melewati blog saya, dan singgah sejenak untuk membaca perkongsian yang tidak seberapa ini. Anda mungkin tertanya- tanya apa sebenarnya yang ingin saya kongsikan?..sudah tentu permasalahan tentang wanita, yang sudah berumah tangga juga telah memiliki cahaya mata.  Persoalan yang nak saya ajukan ialah, adakah anda bahagia bersama pasangan anda?, dapatkah anda memikul tanggungjawab anda sebagai isteri serta seorang ibu?.. Jika anda seorang berkerjaya, anda dapat memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu yang baik, syabas saya ucapkan. seorang wanita perlu ada jati diri yang kukuh, keikhlasan, kesabaran dan beberapa lagi sifat- sifat yang baik bagi menjalankan tugasnya sebagai pelengkap keluarga dan masyarakat. sungguh besarkan tanggungjawab seorang wanita?. Tanpa seorang wanita cekal di samping suami dan anak-anak tercinta, sukar untuk rumahtangga dilayari dengan sempurna. Dan diingatkan sebuah perkahwinan memerlukan pengorbanan yang besar bagi seorang isteri dan suami. Tanpa persefahaman dan rasa tanggungjawab yang sama mungkin rumahtangga boleh jadi kacau sedikit. Itupun sekiranya ada sebelah pihak yang mahu beralah jika terbit permasalah yang timbul tak dijangka. Perlu ingat, lelaki terkenal dengan egonya. Dan isteri dengan sifat sensitifnya. Jika masing-masing menunjukkan keras kepala, rumahtangga yang dibina walau sudah mencecah sepuluh tahun pun boleh jadi hancur. Justeru itu perlu ada pendekatan agama dalam rumahtangga agar rumahtangga diberkati dan diredhai Allah. Pertama sekali, pemimpin keluarga perlulah menjadi contoh teladan yang baik kepada isteri dan anak-anak. Amalkan solat berjemaah bersama insyaAllah, ada kebaikkan akan datang sedikit demi sedikit. Menurut pengamatan saya rumahtangga yang tidak dapat dikawal dengan baik sekiranya hanya seorang isteri sahaja yang solat lima waktu dirumah. Bagaimana seorang suami nak melaksanakan tanggungjawab seorang suami dengan baik, sedangkan sebagai hamba Allah pun dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya..subhanallah, renungkanlah..Para wanita diluar sana, pintalah supaya suami anda bersolat. Dan lebih baik berjemaah bersama-sama dengan anda.
Sekian.